Sabtu, 20 Oktober 2012
DARI "MEJA TANYA PAKAR" : TRANFORMASI POTENSI DIRI MAGNET KEJAYAAN
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,
Mari kita hayati kisah ini dan harapan saya agar kisah ini mampu menjadi agen perubahan kepada pembaca.
Burung helang (Bald Eagle) merupakan seekor burung yang amat dikenali kerana kegagahannya. Kehebatannya menangkap mangsa dan ketajaman penglihatannya amat mengkagumkan manusia. Ia selalu menjadi simbol kegagahan dan keunggulan. Namun ramai yang tidak tahu bahawa untuk kekal gagah burung helang harus menghadapi fasa perubahan. Fasa ini memerlukan kekuatan mental dan fizikal burung tersebut untuk menjalani proses pemulihan.
Burung helang merupakan seekor burung yang mempunyai jangka hayat paling lama. Ia mampu hidup hingga 70 tahun. Walau bagaimanapun, untuk membolehkan umurnya mencecah sehingga 70 tahun burung helang ini mesti melalui satu fasa perubahan pada usianya menjangkau 40 tahun. Ketika ini seekor helang akan dilanda dilema samada untuk meneruskan kehidupannya atau menghadapi saat kematian.
Ketika helang ini mencecah usia 40 tahun, fizikalnya akan mengalami masalah yang besar. Paruhnya mula bengkok dan keadaan ini menyusahkannya untuk makan. Kuku kakinya atau dikenali sebagai ‘talon’ tidak lagi kuat untuk mencekup mangsanya. Bulu-bulu pelepahnya mula rosak dan menghadkan pergerakan terbangnya. Saat ini burung helang hanya mempunyai dua pilihan, samada untuk menjalani proses pemulihan yang amat menyakitkan selama 150 hari atau menunggu saat kematiannya. Dilema ini yang pastinya mengegarkan jiwa bukan sahaja pada burung helang tetapi juga kepada kita sebagai manusia.
Proses pemulihan itu mengkehendaki sang helang tadi terbang ke puncak gunung dan berehat di sarangnya. Di atas puncak gunung itu sang helang memulakan proses pertamanya dengan mengetuk paruhnya ke batu sehingga paruh tersebut tercabut. Sang helang tadi harus menunggu paruh yang baru tumbuh untuk membolehkannya mencabut kuku (talon) atau kerana ia hanya boleh dicabut dengan menggunakan paruh baru yang kuat. Bayangkan kesakitan yang harus ditanggung oleh sang helang demi untuk meneruskan kehidupannya. Bukan itu sahaja, sepanjang tempoh pemulihan ini sang helang tadi juga tidak mampu makan. Hanya kecekalan, keyakinan dan semangat yang betul-betul kuat mampu mengatasi segala tekanan.
Sang helang yang gagah bagaimanapun terpaksa menunggu hingga kuku yang baru tumbuh. Setelah itu, proses terakhir adalah mencabut semua bulu pelepahnya yang lama. Proses pemulihan keseluruhan mengambil masa lebih kurang 5 bulan. Segala kesakitan dihadapi dengan tabah, dilalui dengan cekal, demi untuk sebuah perubahan. Kini setelah 5 bulan sang helang mampu berbangga. Sang helang meraikan kemenangannya dengan memulakan penerbangan pertamanya. Sang helang merasakan seolah-olah ia telah dilahirkan semula (rebirth) dan ganjaran yang diperolehi daripada kesengsaraan yang dilalui adalah kehidupannya selama 30 tahun lagi dengan kemegahan.
Sang helang kini bebas terbang di udara dengan kebanggaan, keunggulan dan kehebatan yang nyata. Ia berhak merasa megah sambil melayang di udara.
Kisah ini seharusnya diteladani oleh manusia, demi mencapai kebuah kejayaan. Dalam meneruskan kehidupan kita mesti melalui fasa perubahan. Perubahan harus dimulakan kerana ia tidak mampu terjadi dengan sendiri. Namun berapa ramai daripada kita yang sanggup melakukan perubahan tersebut.
Manusia rata-ratanya amat takut pada perubahan kerana mereka tahu bahawa mereka akan gagal sebelum proses tersebut berakhir. Penangguhan demi penangguhan dilakukan sehingga pada akhirnya tiada apa-apa pun perubahan yang terjadi. Untuk berubah seseorang individu itu perlu memiliki keyakinan yang betul-betul mantap. Ramai yang mampu menulis atau bercakap tentang keyakinan tetapi amat payah untuk melaksanakannya. Kecekalan dan semangat sebagai pendorong atau agen kepada perubahan tersebut.
Adakalanya kita perlu menyingkirkan kenangan silam yang menghantui kehidupan, habit lama yang tidak membantu kepada perubahan, serta lain-lain kebiasaan atau amalan yang sudah tidak relevan dengan kehidupan kini. Hanya kebebasan daripada bebanan yang lepas membolehkan kita mengambil peluang untuk kejayaan masa hadapan.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan