Khamis, 25 Oktober 2012

SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA 1433H/2012M



InsyaAllah kita akan menyambut Hari Raya Aidiladha 1433H/2012M  pada 26 Oktober 2012 (Jumaat). Sehubungan dengan itu warga My Smart GW mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha 1433H/ 2012M dan Maaf Zahir Batin kepada  kepada semua umat Islam, khususnya pelajar-pelajar yang dikasihi sekelian. 

Kepada yang akan balik kampung untuk berhari raya bersama keluarga dinasihatkan supaya berhati-hati di jalanraya dan mengambil langkah-langkah keselamatan sebelum meninggalkan rumah untuk mengelakkan berlakunya kejadian kecurian dan pecah rumah. Diingatkan patuhi undang-undang lalu lintas dan ingatlah orang yang tersayang, supaya  selamat. Kami semua mendoakan keselamatan anda semua semoga selamat pulang dan selamat kembali.

Kami juga mengambil kesempatan ini untuk memohon ampun dan maaf sekiranya ada berlaku silap dan salah. Sesungguhnya tiada manusia yang sempurna dan tidak lekang daripada melakukan kesilapan.Teguran yang berhemah sentiasa kami alukan untuk kebaikan bersama. 


Qurban itu melepaskan apa yang kita sayang untuk orang yang tersayang kerana YANG MAHA PENYAYANG. Qurban itu maknanya merelakan dirinya susah untuk orang lain yang susah kerana YANG AMAT PEMURAH. Selamat menjalani ibadah qurban dan Selamat menyambut idul adha. Salam Aidiladha.

Sabtu, 20 Oktober 2012

DARI "MEJA TANYA PAKAR" : TRANFORMASI POTENSI DIRI MAGNET KEJAYAAN




Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Mari kita hayati kisah ini dan harapan saya agar kisah ini mampu menjadi agen perubahan kepada pembaca.

Burung helang (Bald Eagle) merupakan seekor burung yang amat dikenali kerana kegagahannya. Kehebatannya menangkap mangsa dan ketajaman penglihatannya amat mengkagumkan manusia. Ia selalu menjadi simbol kegagahan dan keunggulan. Namun ramai yang tidak tahu bahawa untuk kekal gagah burung helang harus menghadapi fasa perubahan. Fasa ini memerlukan kekuatan mental dan fizikal burung tersebut untuk menjalani proses pemulihan.
 

Burung helang merupakan seekor burung yang mempunyai jangka hayat paling lama. Ia mampu hidup hingga 70 tahun. Walau bagaimanapun, untuk membolehkan umurnya mencecah sehingga 70 tahun burung helang ini mesti melalui satu fasa perubahan pada usianya menjangkau 40 tahun. Ketika ini seekor helang akan dilanda dilema samada untuk meneruskan kehidupannya atau menghadapi saat kematian.

Ketika helang ini mencecah usia 40 tahun, fizikalnya akan mengalami masalah yang besar. Paruhnya mula bengkok dan keadaan ini menyusahkannya untuk makan. Kuku kakinya atau dikenali sebagai ‘talon’ tidak lagi kuat untuk mencekup mangsanya. Bulu-bulu pelepahnya mula rosak dan menghadkan pergerakan terbangnya. Saat ini burung helang hanya mempunyai dua pilihan, samada untuk menjalani proses pemulihan yang amat menyakitkan selama 150 hari atau menunggu saat kematiannya. Dilema ini yang pastinya mengegarkan jiwa bukan sahaja pada burung helang tetapi juga kepada kita sebagai manusia.

 

Proses pemulihan itu mengkehendaki sang helang tadi terbang ke puncak gunung dan berehat di sarangnya. Di atas puncak gunung itu sang helang memulakan proses pertamanya dengan mengetuk paruhnya ke batu sehingga paruh tersebut tercabut. Sang helang tadi harus menunggu paruh yang baru tumbuh untuk membolehkannya mencabut kuku (talon) atau kerana ia hanya boleh dicabut dengan menggunakan paruh baru yang kuat. Bayangkan kesakitan yang harus ditanggung oleh sang helang demi untuk meneruskan kehidupannya. Bukan itu sahaja, sepanjang tempoh pemulihan ini sang helang tadi juga tidak mampu makan. Hanya kecekalan, keyakinan dan semangat yang betul-betul kuat mampu mengatasi segala tekanan.

Sang helang yang gagah bagaimanapun terpaksa menunggu hingga kuku yang baru tumbuh. Setelah itu, proses terakhir adalah mencabut semua bulu pelepahnya yang lama. Proses pemulihan keseluruhan mengambil masa lebih kurang 5 bulan. Segala kesakitan dihadapi dengan tabah, dilalui dengan cekal, demi untuk sebuah perubahan. Kini setelah 5 bulan sang helang mampu berbangga. Sang helang meraikan kemenangannya dengan memulakan penerbangan pertamanya. Sang helang merasakan seolah-olah ia telah dilahirkan semula (rebirth) dan ganjaran yang diperolehi daripada kesengsaraan yang dilalui adalah kehidupannya selama 30 tahun lagi dengan kemegahan.

 

Sang helang kini bebas terbang di udara dengan kebanggaan, keunggulan dan kehebatan yang nyata. Ia berhak merasa megah sambil melayang di udara.

Kisah ini seharusnya diteladani oleh manusia, demi mencapai kebuah kejayaan. Dalam meneruskan kehidupan kita mesti melalui fasa perubahan. Perubahan harus dimulakan kerana ia tidak mampu terjadi dengan sendiri. Namun berapa ramai daripada kita yang sanggup melakukan perubahan tersebut.


Manusia rata-ratanya amat takut pada perubahan kerana mereka tahu bahawa mereka akan gagal sebelum proses tersebut berakhir. Penangguhan demi penangguhan dilakukan sehingga pada akhirnya tiada apa-apa pun perubahan yang terjadi. Untuk berubah seseorang individu itu perlu memiliki keyakinan yang betul-betul mantap. Ramai yang mampu menulis atau bercakap tentang keyakinan tetapi amat payah untuk melaksanakannya. Kecekalan dan semangat sebagai pendorong atau agen kepada perubahan tersebut.


 

Adakalanya kita perlu menyingkirkan kenangan silam yang menghantui kehidupan, habit lama yang tidak membantu kepada perubahan, serta lain-lain kebiasaan atau amalan yang sudah tidak relevan dengan kehidupan kini. Hanya kebebasan daripada bebanan yang lepas membolehkan kita mengambil peluang untuk kejayaan masa hadapan.

Khamis, 11 Oktober 2012

SEMINAR TRANFORMASI POTENSI DIRI MENARI KEJAYAAN : PECUTAN AKHIR "MAN JADDA WAJADA" SPM/STPM 2012



 
Pada 13 Oktober (Sabtu), untuk kali ke-4 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), Parit Raja, Batu Pahat akan mengadakan Program Seminar Tranformasi Potensi Diri Menarik Kejayaan : Pecutan Akhir "Man Jadda Wajada" SPM/STPM 2012, di Dewan PPK, Parit Raja. Seminar ini khas untuk anak-anak ahli PPK Parit Raja.  Pelajar-pelajar calon SPM/STPM (anak ahli PPK Parit Raja) dijemput menghadiri seminar tahunan ini. Seminar bermula jam 8.00 pagi hingga 4.00 petang. Pendaftaran boleh dibuat di Pejabat PPK Parit Raja. Sijil  penyertaan akan diberikan kepada setiap peserta.  Seminar ini dijalankan dalam 4 sesi dan memfokuskan kepada :
  1. Ceramah Interaktif : Tranformasi Potensi Diri Menarik Kejayaan
  2. Ektra Fokus "Man Jadda Wajada" dan Pengurusan Tekanan.
  3. Pendidikan Kerjaya dan Halatuju Selepas SPM/STPM.
  4. Sidang Eksklusif "PERMATA HATI & TITISAN KASIH".bersama Ibu bapa dan Pelajar.
Jutaan terima kasih diucapkan kepada pihak PPK, Parit Raja kerana memberi kepercayaan kepada  My Smart GW  Training & Consultancy untuk mengendalikan program ini. Semoga pengisian yang disampaikan memberi sejuta manfaat kepada semua peserta. 

Selasa, 9 Oktober 2012

SELAMAT MENEMPUH PEPERIKSAAN PMR 2012




WARGA MySmart GW  MENGUCAPKAN 
SELAMAT MENEMPUH PEPERIKSAAN PMR 2012
KEPADA SEMUA CALON PMR 2012, KHUSUSNYA ANAK-ANAK YANG MENGIKUTI PROGRAM KAMI.
TENANGKAN HATI, FOKUS DAN BUAT YANG TERBAIK. KAMI DOAKAN SEMOGA MERAIH KEJAYAAN CEMERLANG.

 

- Pengarah Urusan Mysmart GW