Peperiksaan UPSR sudah berlangsung, namun ibu bapa dan pelajar yang menanti ketibaan hari yang penuh debaran dan mencabar iaitu tarikh peperiksaan PMR, SPM dan STPM dengan seribu bauran perasaan. Peperiksaan PMR tinggal 25 hari Peperiksaan SPM dan STPM pula berbaki 53 hari lagi. Di sini diperturunkan beberapa tip untuk cemerlang dan sebagai persediaan menghadapi peperiksaan khususnya bagi pelajar-pelajar yang akan mengambil PMR, SPM dan STPM
Tip ini sebagai panduan pembelajaran dan persediaan
anda.
Tip ini di ambil dari akbar Berita Harian untuk pekongsian kita bersama. Antaranya
ialah :
1. Semak jadual
Menyemak
jadual peperiksaan penting bagi menentukan masa cukup untuk belajar, khususnya
pada saat-saat akhir ini. Latihan mesti diteruskan mengikut kertas peperiksaan
yang akhir diduduki terlebih dulu. Ini kerana apabila tiba hari peperiksaan,
calon akan belajar subjek yang akan diuji pada hari pertama peperiksaan.
Jika
melakukan demikian, bermakna anda telah membuat persiapan yang menyeluruh dan
tidak ada subjek tertinggal atau tidak dipelajari.
2. Kunci peperiksaan
Apakah
kunci kepada peperiksaan? Peperiksaan menuntut calon membuat banyak latihan dan
ulang kaji bagi mengingati pelajaran lalu, selain mengelak diri daripada lupa
fakta ketika menjawab soalan.
Oleh
itu, anda jangan jemu untuk terus membuat ulang kaji, terutama menggunakan
kertas peperiksaan tahun terdahulu atau soalan seiras. Langkah itu akan
membiasakan anda dengan soalan standard, di samping membolehkan ingatan anda
kekal dan berpanjangan.
3. Tentukan keutamaan
Belajar
pada saat-saat akhir juga perlu mengutamakan mata pelajaran atau kemahiran yang
masih belum atau kurang dikuasai. dalam hal ini, jangan sekali-kali belajar
subjek yang anda sukai saja, sebaliknya merangkumi semua.
Ini
kerana setiap peperiksaan akan membabitkan semua subjek dipelajari di sekolah,
bukannya berdasarkan minat seseorang calon.
4. Banyak mengingat dan membuat kaitan
Mengingat
adalah satu perkara penting yang mesti dilakukan calon dalam menghadapi
peperiksaan. Pelbagai cara boleh anda digunakan untuk mengingat, antaranya
belajar berulang kali mengenai sesuatu kemahiran.
Apa-apa
pun cara digunakan, terpulang kepada anda, asalkan ia dapat membantu mengingat
dan membuat kaitan apabila diperlukan.
5. Merancang persiapan peperiksaan
Ada
tiga perkara yang mesti diamalkan calon bagi menentukan kejayaan cemerlang
dalam peperiksaan.
a.
Pertama, sebelum peperiksaan khususnya dalam tempoh beberapa minggu ini, kuat
dan tingkatkan usaha serta semangat dengan belajar secara berterusan.
Selain
di sekolah dan rumah, anda seharusnya mengambil peluang memanfaatkan masa yang
ada, tidak kira di mana saja berada dengan membaca nota ringkas yang disediakan
sebelum ini. Ini akan membantu anda mengingati semula apa yang telah
dipelajari.
Dalam
pada itu, kesihatan diri jangan diabaikan. Walaupun bersemangat untuk menduduki
peperiksaan, janganlah keterlaluan hingga lupa makan dan minum. Ini kerana
keadaan itu boleh menyebabkan anda jatuh sakit.
Tidur
hendaklah mencukupi supaya anda sentiasa selesa dan dapat memberi tumpuan
terhadap pelajaran sama ada ketika di sekolah mahupun sewaktu belajar sendiri
di rumah. Kesihatan tubuh badan yang baik amat perlu, apatah lagi akan
menduduki peperiksaan.
Buat
seketika, lupakan dulu perkara-perkara lain yang anda minat, sebaliknya manfaat
masa yang ada dengan mengulang kaji pelajaran. Ini kerana semua perkara itu
boleh dilakukan kemudian berbanding peperiksaan yang kata orang sekali seumur
hidup. Jangan lepaskan peluang keemasan itu.
Begitu
juga dengan pengambilan makanan, seharusnya ia seimbang. Dalam masa beberapa
hari ini juga, anda seharusnya makan makanan yang berzat dan boleh membantu
mengembang dan mencergaskan minda anda.
Setelah
segala persiapan diri sudah dilakukan, anda perlu pastikan keperluan
peperiksaan yang lain tidak dilupakan, antaranya peralatan menulis khususnya
pensel 2B, pemadam dan penajam pensel, jika tidak sediakan beberapa batang
pensel. Pastikan peralatan ini disediakan lebih awal dan tidak lupa dibawa pada
hari peperiksaan.
Sebaiknya
tidurlah lebih awal pada malam hari peperiksaan. Langkah itu perlu supaya anda
berasa segar dan dapat menghadapi kertas peperiksaan dengan tenang tanpa
sebarang masalah.
b.
Kedua, pada hari peperiksaan. Bangun dan pergi ke sekolah atau dewan
peperiksaan lebih awal, bagaimanapun pastikan anda bersarapan terlebih dulu.
Jika anda bangun lewat, bukan saja tidak sempat bersarapan, malah akan
tergesa-gesa ke sekolah.
Ingat,
perbuatan tergesa-gesa menjanjikan pelbagai masalah, antaranya membuatkan anda
panik lalu tidak dapat menumpukan terhadap peperiksaan.
Sebelum
itu, jangan lupa bersalaman dengan ibu bapa dan minta mereka mendoakan kita
dapat menjawab soalan dengan jayanya.
Ketika
berada dalam dewan peperiksaan, anda hendaklah dalam keadaan tenang dan
anggaplah peperiksaan itu sebagai perkara biasa. Untuk menenangkan diri jika
menggelabah, anda tariklah nafas panjang-panjang. Langkah itu membantu jantung
anda mendapat bekalan oksigen yang mencukupi, sekali gus menghilangkan rasa
gugup dan bimbang.
Apabila
menjawab soalan, sekali lagi anda perlu tenang. Setelah diberi kebenaran oleh
pengawas peperiksaan, jawablah soalan yang anda fikir mudah dulu. Jangan guna
masa terlalu banyak untuk menjawab soalan sukar itu, sebaliknya terus
selesaikan soalan lebih mudah. Soalan susah yang ditinggalkan sementara itu
jangan diabaikan, tetapi dibuat kemudian.
Jika
menjawab soalan objektif, ketelitian amat perlu. Menentukan pilihan jawapan
yang tepat amat penting. Pastikan jawapan yang kita pilih dalam kertas soalan
sama dengan huruf pada kertas jawapan. Seandainya tersalah tanda, padamkan
betul-betul sehingga hilang tanda hitam pensel
Walaupun sudah yakin jawapan yang diberi, baik
bagi soalan objektif mahupun subjektif, semakan sebelum kertas jawapan diserah
kepada pengawas peperiksaan adalah perlu dalam memastikan semuanya betul dan
sudah dijawab. Oleh itu, peruntukkan sedikit masa untuk tujuan semakan
terakhir.
Pembahagian
masa yang betul amat perlu ketika menjawab soalan. Gunakan masa yang
diperuntukkan dengan berkesan. Jangan sekali-kali alpa atau khayal sewaktu
menjawab kerana langkah itu akan merugikan anda.
c. Ketiga, selepas peperiksaan. Setelah menduduki
sesuatu kertas peperiksaan, anda tidak digalakkan berbincang dulu dengan rakan
atau sesiapa mengenainya. Ini perlu bagi mengelakkan perasaan kecewa jika
didapati jawapan anda terpesong atau salah.
Jika
ini berlaku, anda mungkin hilang semangat atau fikiran terganggu ketika
menjawab kertas soalan berikutnya. Sebaiknya, bincang kertas soalan itu setelah
peperiksaan berakhir.
Langkah
terbaik, beri tumpuan penuh untuk menjawab soalan, bukannya menyemak jawapan.
6. Elakkan terbabit dengan situasi yang boleh mengganggu perasaan
Menjelang
peperiksaan, pelbagai dugaan mungkin dihadapi. Oleh itu, anda seharusnya
sentiasa bersedia menghadapi apa saja dugaan yang boleh mengganggu perasaan.
Selepas menunaikan solat lima waktu, berdoalah supaya Allah SWT tenangkan
perasaan dan dapat fokuskan tumpuan terhadap peperiksaan.
7. Berdoa dan bertawakal
Sering
kali kita was-was ataupun tidak yakin dengan apa yang dilakukan. Dalam hal
peperiksaan, anda tidak seharusnya kurang yakin dengan kemampuan diri jika
sudah membuat persiapan rapi sejak awal lagi. Sepatutnya kita berdoa dan
tawakal kepada Allah SWT kerana usaha itu adalah senjata terakhir bukan saja
untuk membina keyakinan diri, malah mencapai kejayaan.
Itulah
di antara tip-tip yang boleh digunakan oleh pelajar sebagai panduan persedian
dan meghadapi peperiksaan tidak lama lagi. Di harap dengan panduan tip-tip di
atas, pelajar-pelajar akan berkeyakinan dan membuat persiapan yang cukup untuk
menghadapi ujian itu nanti.
Jadi,
bagaimana persediaan anda sekarang ? Adakah anda sudah benar-benar bersedia?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan