Khamis, 11 Oktober 2012

SEMINAR TRANFORMASI POTENSI DIRI MENARI KEJAYAAN : PECUTAN AKHIR "MAN JADDA WAJADA" SPM/STPM 2012



 
Pada 13 Oktober (Sabtu), untuk kali ke-4 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), Parit Raja, Batu Pahat akan mengadakan Program Seminar Tranformasi Potensi Diri Menarik Kejayaan : Pecutan Akhir "Man Jadda Wajada" SPM/STPM 2012, di Dewan PPK, Parit Raja. Seminar ini khas untuk anak-anak ahli PPK Parit Raja.  Pelajar-pelajar calon SPM/STPM (anak ahli PPK Parit Raja) dijemput menghadiri seminar tahunan ini. Seminar bermula jam 8.00 pagi hingga 4.00 petang. Pendaftaran boleh dibuat di Pejabat PPK Parit Raja. Sijil  penyertaan akan diberikan kepada setiap peserta.  Seminar ini dijalankan dalam 4 sesi dan memfokuskan kepada :
  1. Ceramah Interaktif : Tranformasi Potensi Diri Menarik Kejayaan
  2. Ektra Fokus "Man Jadda Wajada" dan Pengurusan Tekanan.
  3. Pendidikan Kerjaya dan Halatuju Selepas SPM/STPM.
  4. Sidang Eksklusif "PERMATA HATI & TITISAN KASIH".bersama Ibu bapa dan Pelajar.
Jutaan terima kasih diucapkan kepada pihak PPK, Parit Raja kerana memberi kepercayaan kepada  My Smart GW  Training & Consultancy untuk mengendalikan program ini. Semoga pengisian yang disampaikan memberi sejuta manfaat kepada semua peserta. 

Selasa, 9 Oktober 2012

SELAMAT MENEMPUH PEPERIKSAAN PMR 2012




WARGA MySmart GW  MENGUCAPKAN 
SELAMAT MENEMPUH PEPERIKSAAN PMR 2012
KEPADA SEMUA CALON PMR 2012, KHUSUSNYA ANAK-ANAK YANG MENGIKUTI PROGRAM KAMI.
TENANGKAN HATI, FOKUS DAN BUAT YANG TERBAIK. KAMI DOAKAN SEMOGA MERAIH KEJAYAAN CEMERLANG.

 

- Pengarah Urusan Mysmart GW 

 

Khamis, 13 September 2012

DARI "MEJA TANYA PAKAR" : 7 TIPS UNTUK CEMERLANG & PERSEDIAAN MENGHADAPI PEPERIKSAAN




Peperiksaan UPSR sudah berlangsung, namun ibu bapa dan pelajar yang menanti ketibaan hari yang penuh debaran dan mencabar iaitu tarikh peperiksaan PMR, SPM dan STPM dengan seribu bauran perasaan.  Peperiksaan PMR tinggal 25 hari  Peperiksaan SPM dan STPM pula berbaki 53 hari lagi.  Di sini diperturunkan beberapa tip untuk cemerlang dan sebagai persediaan menghadapi peperiksaan khususnya bagi pelajar-pelajar yang akan mengambil PMR, SPM dan STPM 

Tip ini sebagai panduan pembelajaran dan persediaan anda.
Tip ini di ambil dari akbar Berita Harian untuk pekongsian kita bersama. Antaranya ialah :
 
1. Semak jadual
Menyemak jadual peperiksaan penting bagi menentukan masa cukup untuk belajar, khususnya pada saat-saat akhir ini. Latihan mesti diteruskan mengikut kertas peperiksaan yang akhir diduduki terlebih dulu. Ini kerana apabila tiba hari peperiksaan, calon akan belajar subjek yang akan diuji pada hari pertama peperiksaan.
Jika melakukan demikian, bermakna anda telah membuat persiapan yang menyeluruh dan tidak ada subjek tertinggal atau tidak dipelajari.
2. Kunci peperiksaan
Apakah kunci kepada peperiksaan? Peperiksaan menuntut calon membuat banyak latihan dan ulang kaji bagi mengingati pelajaran lalu, selain mengelak diri daripada lupa fakta ketika menjawab soalan.
Oleh itu, anda jangan jemu untuk terus membuat ulang kaji, terutama menggunakan kertas peperiksaan tahun terdahulu atau soalan seiras. Langkah itu akan membiasakan anda dengan soalan standard, di samping membolehkan ingatan anda kekal dan berpanjangan.
3. Tentukan keutamaan
Belajar pada saat-saat akhir juga perlu mengutamakan mata pelajaran atau kemahiran yang masih belum atau kurang dikuasai. dalam hal ini, jangan sekali-kali belajar subjek yang anda sukai saja, sebaliknya merangkumi semua.
Ini kerana setiap peperiksaan akan membabitkan semua subjek dipelajari di sekolah, bukannya berdasarkan minat seseorang calon.
4. Banyak mengingat dan membuat kaitan
Mengingat adalah satu perkara penting yang mesti dilakukan calon dalam menghadapi peperiksaan. Pelbagai cara boleh anda digunakan untuk mengingat, antaranya belajar berulang kali mengenai sesuatu kemahiran.
Apa-apa pun cara digunakan, terpulang kepada anda, asalkan ia dapat membantu mengingat dan membuat kaitan apabila diperlukan.
5. Merancang persiapan peperiksaan
Ada tiga perkara yang mesti diamalkan calon bagi menentukan kejayaan cemerlang dalam peperiksaan.
a. Pertama, sebelum peperiksaan khususnya dalam tempoh beberapa minggu ini, kuat dan tingkatkan usaha serta semangat dengan belajar secara berterusan.
Selain di sekolah dan rumah, anda seharusnya mengambil peluang memanfaatkan masa yang ada, tidak kira di mana saja berada dengan membaca nota ringkas yang disediakan sebelum ini. Ini akan membantu anda mengingati semula apa yang telah dipelajari.
Dalam pada itu, kesihatan diri jangan diabaikan. Walaupun bersemangat untuk menduduki peperiksaan, janganlah keterlaluan hingga lupa makan dan minum. Ini kerana keadaan itu boleh menyebabkan anda jatuh sakit.
Tidur hendaklah mencukupi supaya anda sentiasa selesa dan dapat memberi tumpuan terhadap pelajaran sama ada ketika di sekolah mahupun sewaktu belajar sendiri di rumah. Kesihatan tubuh badan yang baik amat perlu, apatah lagi akan menduduki peperiksaan.
Buat seketika, lupakan dulu perkara-perkara lain yang anda minat, sebaliknya manfaat masa yang ada dengan mengulang kaji pelajaran. Ini kerana semua perkara itu boleh dilakukan kemudian berbanding peperiksaan yang kata orang sekali seumur hidup. Jangan lepaskan peluang keemasan itu.
Begitu juga dengan pengambilan makanan, seharusnya ia seimbang. Dalam masa beberapa hari ini juga, anda seharusnya makan makanan yang berzat dan boleh membantu mengembang dan mencergaskan minda anda.
Setelah segala persiapan diri sudah dilakukan, anda perlu pastikan keperluan peperiksaan yang lain tidak dilupakan, antaranya peralatan menulis khususnya pensel 2B, pemadam dan penajam pensel, jika tidak sediakan beberapa batang pensel. Pastikan peralatan ini disediakan lebih awal dan tidak lupa dibawa pada hari peperiksaan.
Sebaiknya tidurlah lebih awal pada malam hari peperiksaan. Langkah itu perlu supaya anda berasa segar dan dapat menghadapi kertas peperiksaan dengan tenang tanpa sebarang masalah.
b. Kedua, pada hari peperiksaan. Bangun dan pergi ke sekolah atau dewan peperiksaan lebih awal, bagaimanapun pastikan anda bersarapan terlebih dulu. Jika anda bangun lewat, bukan saja tidak sempat bersarapan, malah akan tergesa-gesa ke sekolah.
Ingat, perbuatan tergesa-gesa menjanjikan pelbagai masalah, antaranya membuatkan anda panik lalu tidak dapat menumpukan terhadap peperiksaan.
Sebelum itu, jangan lupa bersalaman dengan ibu bapa dan minta mereka mendoakan kita dapat menjawab soalan dengan jayanya.
Ketika berada dalam dewan peperiksaan, anda hendaklah dalam keadaan tenang dan anggaplah peperiksaan itu sebagai perkara biasa. Untuk menenangkan diri jika menggelabah, anda tariklah nafas panjang-panjang. Langkah itu membantu jantung anda mendapat bekalan oksigen yang mencukupi, sekali gus menghilangkan rasa gugup dan bimbang.
Apabila menjawab soalan, sekali lagi anda perlu tenang. Setelah diberi kebenaran oleh pengawas peperiksaan, jawablah soalan yang anda fikir mudah dulu. Jangan guna masa terlalu banyak untuk menjawab soalan sukar itu, sebaliknya terus selesaikan soalan lebih mudah. Soalan susah yang ditinggalkan sementara itu jangan diabaikan, tetapi dibuat kemudian.
Jika menjawab soalan objektif, ketelitian amat perlu. Menentukan pilihan jawapan yang tepat amat penting. Pastikan jawapan yang kita pilih dalam kertas soalan sama dengan huruf pada kertas jawapan. Seandainya tersalah tanda, padamkan betul-betul sehingga hilang tanda hitam pensel
Walaupun sudah yakin jawapan yang diberi, baik bagi soalan objektif mahupun subjektif, semakan sebelum kertas jawapan diserah kepada pengawas peperiksaan adalah perlu dalam memastikan semuanya betul dan sudah dijawab. Oleh itu, peruntukkan sedikit masa untuk tujuan semakan terakhir.
Pembahagian masa yang betul amat perlu ketika menjawab soalan. Gunakan masa yang diperuntukkan dengan berkesan. Jangan sekali-kali alpa atau khayal sewaktu menjawab kerana langkah itu akan merugikan anda.
c. Ketiga, selepas peperiksaan. Setelah menduduki sesuatu kertas peperiksaan, anda tidak digalakkan berbincang dulu dengan rakan atau sesiapa mengenainya. Ini perlu bagi mengelakkan perasaan kecewa jika didapati jawapan anda terpesong atau salah.
Jika ini berlaku, anda mungkin hilang semangat atau fikiran terganggu ketika menjawab kertas soalan berikutnya. Sebaiknya, bincang kertas soalan itu setelah peperiksaan berakhir.
Langkah terbaik, beri tumpuan penuh untuk menjawab soalan, bukannya menyemak jawapan.
6. Elakkan terbabit dengan situasi yang boleh mengganggu perasaan
Menjelang peperiksaan, pelbagai dugaan mungkin dihadapi. Oleh itu, anda seharusnya sentiasa bersedia menghadapi apa saja dugaan yang boleh mengganggu perasaan. Selepas menunaikan solat lima waktu, berdoalah supaya Allah SWT tenangkan perasaan dan dapat fokuskan tumpuan terhadap peperiksaan.
7. Berdoa dan bertawakal
Sering kali kita was-was ataupun tidak yakin dengan apa yang dilakukan. Dalam hal peperiksaan, anda tidak seharusnya kurang yakin dengan kemampuan diri jika sudah membuat persiapan rapi sejak awal lagi. Sepatutnya kita berdoa dan tawakal kepada Allah SWT kerana usaha itu adalah senjata terakhir bukan saja untuk membina keyakinan diri, malah mencapai kejayaan.
Itulah di antara tip-tip yang boleh digunakan oleh pelajar sebagai panduan persedian dan meghadapi peperiksaan tidak lama lagi. Di harap dengan panduan tip-tip di atas, pelajar-pelajar akan berkeyakinan dan membuat persiapan yang cukup untuk menghadapi ujian itu nanti.
Jadi, bagaimana persediaan anda sekarang ? Adakah anda sudah benar-benar bersedia? 
 

Isnin, 3 September 2012

TRANSFORMASI POTENSI DIRI MENARIK KEJAYAAN




Pada 28 Ogos (Selasa) yang lalu,   En. Mohd Daud Salleh telah dijemput sebagai Perunding Motivasi untuk menyampaikan ceramah bertajuk : Transformasi Potensi Diri Menarik Kejayaan. Slot ceramah ini mengambil masa 3 jam (2.30 petang hingga  5.30 ptg.). Fokus ceramah dan bengkel ialah peranan kuasa "Mindfulness", "Conscious mind" dan "Subcoscious mind" menjadi  magnet menarik kejayaan. Seramai 102 orang pelajar Pra U SMK Tun Ismail, Batu Pahat, Johor telah hadir. Ceramah dan bengkel ini berlangsung di Dewan Seminar. Perpustakaan  Universiti Tun Hussein Malaysia, Johor.
 
Jutaan terima kasih diucapkan kepada pihak Pengetua, Unit HEM, Penyelaras Pelajar Pra U dan Unit Bimbingan dan Kaunseling SMK Tun Ismail, Batu Pahat, Johor serta .semua guru yang terlibat, atas jemputan ini. Semoga pengisian yang disampaikan memberi banyak manfaat dan impak yang mendalam kepada semua peserta.

Khamis, 30 Ogos 2012

ASSALAMUALAIKUM "MERDEKA"



TANGGAL 31 Ogos datang lagi - tanda meningkat setahun lagi usia kemerdekaan negara. Ketika laungan kemerdekaan di Stadium Merdeka yang dikumandangkan Tunku Abdul Rahman mengiang-ngiang di telinga, kini Malaysia menyambut lagi ulang tahun ke-55.
Sebagaimana Bangunan Sultan Abdul Samad di ibu negara menjadi saksi turunnya bendera Union Jack, begitulah juga bangunan dengan reka bentuk Moorish itu menjadi saksi peningkatan dalam pembangunan serta perkembangan sebuah negara bernama Malaysia.
Dengan bebasnya negara daripada belenggu penjajahan bermakna perjuangan mendapatkan kemerdekaan juga berakhir, tetapi ia juga bermakna bermulanya perjuangan mengisi kemerdekaan.Semangat merdeka juga terus disemai bagi memberi kesedaran kepada anggota masyarakat akan betapa payahnya perjuangan menjadi negara yang bebas dari sebarang unsur-unsur penjajahan. Bagaimanapun, masyarakat Melayu tidak bersendirian kerana pemimpin Melayu sedar bahawa tanpa pembabitan bangsa lain, perjuangan ini tidak akan berjaya kerana melalui kemerdekaan, Malaya akan ditadbir di bawah satu sistem di mana semua bangsa akan bersatu.

Rentetan demi rentetan peristiwa yang membawa kepada kemerdekaan negara mungkin masih segar dalam kepala golongan tua, namun bagi golongan muda hanya semangat ini yang dibawa bersama dalam menyemarakkan hari kemerdekaan.Kibaran merah putih Jalur Gemilang kini menjadi pembangkit semangat kemerdekaan. Sana-sini ia diarak bagi membuakkan rasa kasih dan cinta kepada negara yang memberikan segala kemewahan dan peluang kepada rakyatnya.
Tidak cukup dengan itu, pelbagai bahan digunakan bagi membentuk Jalnnur Gemilang menandakan betapa semaraknya keinginan semua anggota masyarakat untuk terus menjadi sebuah negara berdaulat yang merdeka.
Justeru itu, sama-samalah kita mengubah sikap dan kembali ke landasan sebenar supaya tidak terus hanyut dan leka dengan keselesaan yang dinikmati hari ini. Masyarakat patriotik adalah masyarakat yang anggotanya bertatasusila luhur, berdaya maju, melindungi dan mematuhi serta memelihara undang-undang dan peraturan. Untuk membentuk masyarakat madani, pemupukan nilai-nilai murni menerusi pendidikan dan tarbiyah secara berkesan penting kerana pembangunan material serta kepesatan perkembangan ekonomi semata-mata belum tentu menjanjikan terbinanya masyarakat yang bermoral.

Warga My Smart GW mengucapkan  SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN KE-55, kepada semua rakyat Malaysia.

Rabu, 15 Ogos 2012

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI 1433H/2012M








Assalamu'alaikum Wr. Wb.
InsyaAllah kita akan menyambut Hari Raya Aidilfitri 1433H/2012M  pada 19 Ogos 2012 (Ahad). Sehubungan dengan itu warga My Smart Golden Work mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri 1433H/ 2012M dan Maaf Zahir Batin kepada semua umat Islam, khususnya pelajar-pelajar yang dikasihi sekelian.

Kepada yang akan balik kampung untuk berhari raya bersama keluarga dinasihatkan supaya berhati-hati di jalanraya. Patuhi undang-undang lalu lintas, supaya  selamat. Kami semua mendoakan keselamatan anda semua semoga selamat pulang dan selamat kembali.


Kami juga mengambil kesempatan ini untuk memohon ampun dan maaf mungkin ada silap dan salah. Sesungguhnya tiada manusia yang sempurna dan tidak lekang daripada melakukan kesilapan.Teguran yang berhemah sentiasa kami alukan untuk kebaikan bersama. 

Jumaat, 20 Julai 2012

SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK



Seluruh warga My Smart GW mengucapkan Selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak dan  mengerjakan ibadah Puasa untuk tahun 1433H/2012M kepada semua umat islam dan khususnya kepada  para pelajar yang akan menduduki peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM pada tahun ini. Teruskan usaha anda, semoga Ramadhan buat anda semua semakin bersemangat kental dan gigih.