TANGGAL 31 Ogos datang lagi - tanda meningkat setahun lagi usia kemerdekaan
negara. Ketika laungan kemerdekaan di Stadium Merdeka yang dikumandangkan Tunku
Abdul Rahman mengiang-ngiang di telinga, kini Malaysia menyambut lagi ulang tahun
ke-55.
Sebagaimana Bangunan Sultan Abdul Samad di ibu negara
menjadi saksi turunnya bendera Union Jack, begitulah juga bangunan dengan reka
bentuk Moorish itu menjadi saksi peningkatan dalam pembangunan serta
perkembangan sebuah negara bernama Malaysia.
Dengan bebasnya negara daripada belenggu penjajahan bermakna
perjuangan mendapatkan kemerdekaan juga berakhir, tetapi ia juga bermakna
bermulanya perjuangan mengisi kemerdekaan.Semangat merdeka juga terus disemai
bagi memberi kesedaran kepada anggota masyarakat akan betapa payahnya
perjuangan menjadi negara yang bebas dari sebarang unsur-unsur penjajahan.
Bagaimanapun, masyarakat Melayu tidak bersendirian kerana pemimpin Melayu sedar
bahawa tanpa pembabitan bangsa lain, perjuangan ini tidak akan berjaya kerana
melalui kemerdekaan, Malaya akan ditadbir di bawah satu sistem di mana semua
bangsa akan bersatu.
Rentetan demi rentetan peristiwa yang membawa kepada
kemerdekaan negara mungkin masih segar dalam kepala golongan tua, namun bagi
golongan muda hanya semangat ini yang dibawa bersama dalam menyemarakkan hari
kemerdekaan.Kibaran merah putih Jalur Gemilang kini menjadi pembangkit semangat
kemerdekaan. Sana-sini ia diarak bagi membuakkan rasa kasih dan cinta kepada
negara yang memberikan segala kemewahan dan peluang kepada rakyatnya.
Tidak cukup dengan itu, pelbagai bahan digunakan bagi
membentuk Jalnnur Gemilang menandakan betapa semaraknya keinginan semua anggota
masyarakat untuk terus menjadi sebuah negara berdaulat yang merdeka.
Justeru itu, sama-samalah kita mengubah sikap dan
kembali ke landasan sebenar supaya tidak terus hanyut dan leka dengan
keselesaan yang dinikmati hari ini. Masyarakat patriotik adalah masyarakat yang
anggotanya bertatasusila luhur, berdaya maju, melindungi dan mematuhi serta
memelihara undang-undang dan peraturan. Untuk membentuk masyarakat madani,
pemupukan nilai-nilai murni menerusi pendidikan dan tarbiyah secara berkesan
penting kerana pembangunan material serta kepesatan perkembangan ekonomi
semata-mata belum tentu menjanjikan terbinanya masyarakat yang bermoral.
Warga My Smart GW mengucapkan SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN KE-55, kepada semua rakyat Malaysia.